Pemandu maut lori terbabas rempuh benteng pasir

Iklan
Keadaan hadapan lori yang remuk selepas merempuh benteng pasir. Foto ihsan PDRM

GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas sebelum merempuh benteng pasir dalam kejadian di Jalan Kuari Mahsari, Kuala Betis, di sini pada pagi Isnin.

Mangsa, Mohamad Farid Amaruddin, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11.40 pagi daripada Pusat Kawalan Daerah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi membabitkan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan batu dari arah jalan kuari.

Iklan

“Ketika melalui selekoh menuruni bukit, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar benteng pasir yang berada di hadapan jalan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Benteng pasir yang dirempuh lori menyebabkan pemandunya meninggal dunia. Foto ihsan PDRM

Iklan

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222 bagi membantu siasatan.