BESUT – Usaha konsisten Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA) sejak 17 tahun lalu berjaya membantu hingga 40 peratus penerima bantuan Program Sponsor A Student (SAS) melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa peranan alumni dalam membina masa depan pendidikan anak bangsa tidak boleh dipandang ringan.
“Setakat ini, kami telah menyumbang sebanyak RM1.6 juta bagi membantu lebih 1,400 pelajar sejak program ini dimulakan 17 tahun lalu. Alhamdulillah, kira-kira 40 peratus daripada mereka berjaya menyambung pengajian ke universiti.
“Ini bukan angka kecil dan jumlah itu juga isyarat jelas bahawa apabila alumni kembali menyumbang kepada sekolah, impaknya cukup besar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Program SAS ke-17 sesi 2025/2026 dan Sumbangan Kecemerlangan STPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengetua SMK Tengku Mahmud, Mohamad Zainuddin Awang.
Muhammad Nasir yang juga Penasihat Bersama Karangkraf berkata, selebihnya pelajar yang dibantu berjaya dengan cara tersendiri termasuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau turut menekankan bahawa alumni bukan sekadar kembali dengan kenangan, sebaliknya perlu tampil sebagai pelaksana perubahan.
“Pendidikan bukan tugas guru sahaja, tetapi adalah tanggungjawab semua termasuk bekas pelajar.
“Alumni perlu kembali ke sekolah, melihat apa yang diperlukan dan membantu bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga sokongan moral, pengalaman dan semangat,” katanya.
Muhammad Nasir turut memaklumkan bahawa 70 pelajar lagi dari 13 sekolah sekitar daerah ini menerima manfaat Program SAS bagi sesi kali ini.
“Ibu bapa diingatkan agar tidak meletakkan tanggungjawab pendidikan anak-anak sepenuhnya kepada pihak sekolah.
“Mereka ialah guru pertama yang diberi tauliah oleh ALLAH sejak anak dilahirkan. Jadi sama-sama mainkan peranan dalam mendidik anak-anak,” ujarnya.
Dalam nada penuh nasihat, beliau meninggalkan tiga pesanan asas kepada semua pelajar agar terus kekal di landasan kejayaan iaitu tidak meninggalkan solat fardu lima waktu, membaca al-Quran setiap hari dan berinfak mengikut kemampuan.
“Solat ini wajib, sakit pun wajib solat dan baca al-Quran.
“Apabila hubungan dengan ALLAH dijaga, ALLAH akan bantu kita,” katanya.