SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) baru-baru ini melancarkan Premier Wealth Centre sejajar dengan pelan transformasi untuk menstruktur semula cawangan kepada Wealth and Experience Hubs.
Pelancaran di Menara Bank Islam tersebut merupakan sebahagian daripada strategi untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada individu berpendapatan tinggi (HNW) dan segmen pasaran mewah yang kian berkembang.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, pusat baharu tersebut akan diwujudkan di kawasan utama yang mempunyai pertumbuhan tinggi.
“Ia bertujuan untuk menyokong matlamat Bank Islam meningkatkan pengalaman pelanggan dan menyediakan penyelesaian pembiayaan patuh syariah yang diperibadikan.
‘‘Premier Wealth Centre menawarkan khidmat setempat untuk nasihat khusus, kewangan beretika dan keistimewaan gaya hidup. Ia direka untuk memenuhi keperluan pelanggan mewah melalui pengalaman perbankan yang lebih bermakna,” katanya.
Tambahnya, setiap pusat akan dianggotai oleh pengurus perhubungan yang berpengalaman, menawarkan khidmat seperti perancangan pelaburan, takaful, perancangan harta dan kewangan sosial.
Beliau juga berhasrat untuk mewujudkan lebih banyak Premier Wealth Centre di seluruh negara menjelang akhir tahun ini bagi memberi perkhidmatan pelanggan yang lebih baik.
Inisiatif tersebut juga menyokong tonggak pengalaman pelanggan bank dengan memperkukuh keupayaan nasihat serta menyediakan perkhidmatan yang lancar dan berasaskan nilai.
Penawaran semasa pengurusan kekayaan Bank Islam merangkumi amanah saham, takaful, perancangan harta pusaka, produk perbendaharaan dan dagangan saham.