Sultan Pahang mahu kelab golf dijaga rapi

Iklan
Al-Sultan Abdullah (dua dari kiri) berkenaan mengurniakan hadiah kepada pemenang di Majlis Jamuan Diraja dan pengurniaan hadiah Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Kelab Golf Diraja Pahang pada malam Ahad. Foto: FB Kesultanan Pahang.

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan pemilik dan pengurus kelab golf di negeri ini, khususnya yang di bawah kelolaan kerajaan negeri, supaya menjaga kelab masing-masing dengan sebaiknya.

Baginda bertitah, penyelenggaraan yang baik penting bagi memastikan kemudahan sentiasa berada dalam keadaan baik dan terus menarik kehadiran pemain.

Iklan
Iklan

“Saya berharap agar kelab-kelab golf yang ada ini dijaga dengan baik. Kalau tak minat nak jaga, lebih baik tutup sahaja.

“Tanah (kelab golf) itu boleh digunakan untuk projek pembangunan lain yang mendatangkan manfaat lebih besar kepada kerajaan negeri dan rakyat,” titah baginda menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang pada Isnin.

Iklan

Kenyataan itu merujuk kepada titah Al-Sultan Abdullah sempena Majlis Jamuan Diraja dan pengurniaan hadiah Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Kelab Golf Diraja Pahang, di sini, malam Ahad.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Iklan

Turut sama ialah Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan isteri, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan; Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Mohammed Moizz; Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah serta Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Al-Sultan Abdullah mahu kelab golf di negeri ini lebih aktif menganjurkan program dan pertandingan.

“Saya nak pengurusan kelab-kelab yang ada buat lebih banyak program, pertandingan dan promosi untuk menarik lebih ramai pemain golf sama ada profesional atau amatur datang untuk bermain atau untuk tujuan latihan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan harapan agar pemain-pemain yang menyertai Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 terus menyokong kelab-kelab golf yang ada di negeri ini.

“Saya berharap kejohanan ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mampu menarik lebih ramai pemain.

“Tengku Ampuan Pahang juga mahu kelab-kelab golf yang ada menganjurkan pertandingan atau kejohanan khusus untuk pemain wanita, sekali gus dapat mencungkil bakat golongan tersebut dalam sukan golf ini,” titah baginda.