IPOH – Kejohanan Bola Sepak Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Perak yang kini memasuki edisi ke-17 terus menjadi platform mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Presiden Persatuan Bola Sepak India Perak, Datuk Amaluddin Mohd Ismail berkata, penyertaan yang semakin meningkat saban tahun membuktikan minat mendalam dalam kalangan pelajar terhadap sukan bola sepak.
Menurutnya, kejohanan itu yang bermula dengan hanya lapan pasukan pada awal penganjuran kini menyaksikan penyertaan sebanyak 62 pasukan dari seluruh negeri.
“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan YB Sivanesan (Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional) atas sumbangan yang membolehkan kejohanan ini terus dijalankan.
“Kita perlukan banyak perbelanjaan untuk menganjurkan kejohanan seperti ini termasuk penyediaan makanan dan penginapan kepada peserta. Syukur dengan sokongan yang ada, kita mampu anjurkan dengan baik setiap tahun,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Perak ke-17 yang disempurnakan Sivanesan di Padang Ipoh di sini pada Ahad.
Amaluddin berkata, pihaknya turut merancang membentuk satu pasukan bola sepak pelapis yang lebih mantap bagi mewakili negeri Perak ke peringkat kebangsaan.
“Kita sedang membuat pemilihan kira-kira 20 hingga 25 pemain daripada kalangan peserta kejohanan kali ini. Mereka akan dihimpunkan dalam satu pasukan untuk menyertai liga serta kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) serta peringkat daerah.
“Kalau boleh, kita mahu gabungkan pemain pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India dalam satu pasukan. Ini penting bagi membina semangat perpaduan dan kekuatan pasukan negeri,” katanya.
Tambah beliau, pasukan tersebut akan menjalani latihan dan perlawanan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selain segala kos makan, minum serta penginapan pemain akan ditanggung oleh pihak persatuan.