KOTA BHARU - Kolej Tingkatan Enam pertama di Kelantan yang kini dalam proses pembinaan dijangka mula beroperasi pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sepanjang lawatan kerja tiga hari di negeri ini, beliau telah meninjau perkembangan projek berkenaan yang sedang dibangunkan di Machang.
“Saya berharap projek pembinaan kolej ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Insya-ALLAH, kolej berkenaan akan dapat beroperasi pada tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan kepada Murid Tingkatan Enam Semester Satu 2025 di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini.
Menurut Fadhlina, kolej tersebut bakal menjadi pusat pengajian yang lebih selesa untuk pelajar Tingkatan Enam di Kelantan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kelantan merupakan antara yang terbaik dan paling konsisten.
Justeru, katanya, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada pembangunan infrastruktur, tetapi aspek kebajikan guru dan pelajar turut menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).