SERDANG – Pemandu bas yang membawa 30 murid dan lima guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang dipercayai terlelap sebelum kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan mendapati pemandu berusia 44 tahun itu mengaku tidak cukup rehat, mengakibatkan dia terlelap ketika kejadian.
Iklan
Iklan
"Suspek yang ditahan sebelum ini telah direman selama dua hari untuk siasatan lanjut. Selain itu, suspek didapati tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca akibat pemandu tidak cukup tidur dan rehat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga murid dan seorang guru cedera selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dalam kemalangan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.18 tengah hari itu, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat menuju MAEPS Serdang sebelum dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di lokasi kejadian.
Susulan itu, pemandu bas terbabit kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.