SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa sebanyak 10 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kini berada pada status cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga).
Keadaan ini berlaku susulan suhu harian maksimum yang mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan agensi itu pada Sabtu, lima kawasan di Semenanjung yang terlibat ialah Baling (merangkumi daerah Baling, Kulim dan Bandar Baharu) di Kedah, Selama (Perak) serta dua daerah di Pahang iaitu Maran dan Rompin.
“Empat kawasan di Sabah turut berada dalam status berjaga-jaga iaitu Pitas, Kota Marudu, Beaufort dan Tenom.
“Sementara itu, satu kawasan di Sarawak iaitu Limbang juga mencatatkan suhu panas berterusan yang sama,” katanya.
Orang ramai disarankan untuk merujuk laman web rasmi MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas bagi maklumat terkini berkaitan status harian cuaca panas di seluruh negara.
MetMalaysia sebelum ini menetapkan Tahap 1 sebagai amaran berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.