JAKARTA – Sepasang pengantin di Indonesia menjadi perhatian ramai selepas menghadiahkan cenderahati luar biasa kepada tetamu iaitu rojak buah segar seberat 1.2 tan pada majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di Jakarta.
Pasangan Yuna dan Agiel memilih untuk memberikan rojak sebagai buah tangan kepada 1,100 tetamu sempena majlis perkahwinan mereka pada 6 Julai 2024 di Gedung Dhanapala, Jakarta Pusat.
Momen unik itu dikongsi oleh akaun TikTok @dibaliklayarorganizer dan menjadi tular dengan lebih 124,000 tontonan.
Menurut perancang perkahwinan, buah-buahan tersebut dibekalkan oleh tukang rojak yang merupakan kegemaran ibu pengantin perempuan.
Sebanyak enam jenis buah disediakan, setiap satu seberat 200 kilogram menjadikan jumlah keseluruhan 1.2 tan.
Semua rojak itu dibungkus kemas dalam kotak lengkap dengan kuah kacang khas, lalu disusun rapi sebagai cenderahati untuk tetamu.
“Idea ini datang daripada pengalaman ibu pengantin perempuan yang pernah menghadiri majlis perkahwinan dan menerima jambu kristal sebagai hadiah.
Beliau rasa ia unik dan menyegarkan untuk dimakan dalam perjalanan pulang. Maka tercetuslah idea untuk memberi rojak sebagai cenderahati,” kata wakil perancang kepada Wolipop.
Warganet memuji idea kreatif pasangan tersebut yang disifatkan bukan sahaja unik malah lebih bermanfaat berbanding hadiah biasa seperti kipas atau cawan.
“Semakin hari semakin kreatif idea cenderahati kahwin. Yang macam ni lebih berfaedah,” komen seorang pengguna TikTok.
Majlis perkahwinan itu turut dianggap mesra alam dan memberi inspirasi kepada pasangan lain untuk memberikan cenderahati yang segar, praktikal dan meninggalkan kenangan manis kepada tetamu. - Agensi