KUALA LUMPUR - Usaha selama 12 tahun akhirnya membuahkan hasil apabila seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menyiapkan sebuah buku berkaitan kewangan Islam yang menjadi rujukan penting industri, malah dianggap sebagai amal jariah dan sumbangan intelektualnya kepada masyarakat.
Penulisnya, Profesor Datin Dr Nurdianawati Irwani Abdullah berkata, buku yang mengambil masa lebih satu dekad untuk disempurnakan itu bermula sejak tahun 2012, namun terpaksa beberapa kali ditangguhkan akibat cabaran berkaitan aspek kewangan dan perubahan perundangan yang sentiasa berlaku.
Menurutnya, perundangan dan kewangan Islam merupakan bidang yang dinamik dan sentiasa berubah, menyebabkan beliau hampir berputus asa setiap kali mahu menyambung penulisan.
“Namun, saya tekad bangkit semula apabila menjadikan kuliah yang saya sampaikan sendiri sebagai inspirasi untuk terus menulis dan menetapkan tarikh akhir sendiri bagi memastikan buku itu berjaya disiapkan.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dan bersyukur apabila buku itu berjaya disiapkan. Buku tersebut adalah sebahagian daripada amal jariah saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Buku From Shariah to Statute: Legal and Regulatory Framework of Islamic Finance in Malaysia di Dewan Kebudayaan UIAM, di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis dan mencemar duli melancarkan buku tersebut.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Nurdianawati memberitahu, walaupun menerima tawaran daripada penerbit antarabangsa, beliau memilih untuk menerbitkan buku di bawah fakulti sendiri bagi memastikan harganya mampu milik dan mudah diakses oleh semua lapisan pembaca.
Menurutnya, buku setebal 300 muka surat itu merangkumi empat komponen utama kewangan Islam di Malaysia, iaitu perbankan Islam, takaful, dan pasaran modal Islam yang jarang disentuh dalam mana-mana penulisan terdahulu.
Justeru, beliau memaklumkan bahawa usaha menyiapkan buku itu memberi kepuasan tersendiri, seolah-olah satu amanah ilmu telah ditunaikan.
Tambahnya, buku terbabit bukan sahaja sesuai untuk pelajar, malah untuk pelbagai pihak termasuklah pemain industri.