Pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah - Fahmi

Iklan
Fahmi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, Putrajaya pada Jumaat. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah dan negara itu mempunyai hak untuk wujud sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, kata Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu mengesahkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri pada Jumaat mengenai isu Palestin, susulan mesyuarat khas yang diadakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas koordinasi Arab Saudi dan Perancis, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

“Wakil Tetap Malaysia ke PBB telah diminta untuk melihat dan menandatangani satu kenyataan bersama, tetapi keputusan kerajaan ialah kita perlu masa untuk meneliti (deklarasi).

“Jadi, waktu ini pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah. Pendirian kerajaan ialah negara Palestin itu punya hak untuk wujud dan kita tidak melihat kepada perkara-perkara lain,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.

Iklan

Fahmi berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa Qatar, Arab Saudi dan Mesir adalah antara 17 negara bersama Britain, Perancis serta Kanada yang menandatangani deklarasi menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Palestin.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas persidangan peringkat tinggi di PBB itu turut mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel dan menuntut pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.

Iklan

Media melaporkan bahawa deklarasi itu menyeru Hamas menyerahkan senjatanya kepada pihak berkuasa Palestin sebagai sebahagian daripada usaha untuk penyelesaian dua negara.

Sementara itu, Fahmi berkata, Wisma Putra perlu diberikan sedikit masa untuk meneliti sepenuhnya dokumen berkenaan, dan Jemaah Menteri telah meminta supaya Menteri Luar memberikan Kenyataan Menteri di Dewan Rakyat pada awal minggu depan berhubung perkara itu.

“Kemungkinan antara hari Isnin hingga hari Rabu. Oleh itu, saya percaya (Mohamad) akan menjawab dengan lebih menyeluruh, tetapi pendirian kerajaan tidak berubah,” katanya. - Bernama