PONTIAN – Beberapa projek infrastruktur utama yang merangkumi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bakal diberi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sehingga tahun 2030.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara projek yang diberi tumpuan ialah naik taraf Jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok (Malaysia–Thailand) dan Jalan Kalabakan–Simanggaris (Malaysia–Indonesia).
Jelas beliau, pelaksanaan kedua-dua projek itu akan meningkatkan akses perhubungan di kawasan sempadan antara Malaysia, Thailand dan Indonesia, sekali gus memajukan ekonomi di kawasan tersebut.
“Turut dibina ialah lebuh raya melibatkan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Bentong (Pahang) ke Kuala Krai (Kelantan), juga dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur.
“Kerajaan akan memastikan mana-mana pakej pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (Sabah dan Sarawak) yang belum siap disiapkan sepenuhnya, selain pembinaan Jalan Perhubungan Sarawak–Sabah (SSLR) dan Lebuhraya Rentas Borneo,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas melawat projek Sejati Madani tanaman nanas di Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan 9 Mukim Ayer Baloi, Mohd Miswan Saman.
Tambah Ahmad, pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dari Taiping, Perak ke Banting, Selangor telah siap bagi jarak 148.9 kilometer daripada jumlah keseluruhan 233 kilometer.
“Bagi mengatasi masalah kesesakan di Pulau Pinang, pembinaan projek bertingkat Juru–Sungai Dua (JSD) akan diusahakan oleh PLUS ekoran kesesakan teruk di kawasan Permatang Pauh.
“Sementara itu, di Johor, projek pembesaran Lebuhraya Senai Utara–Machap akan dipastikan siap bagi menangani peningkatan aliran trafik,” jelasnya.
Beliau menambah, bagi meningkatkan infrastruktur luar bandar, kerajaan menyasarkan untuk menaik taraf jalan sejauh 2,800 kilometer menjelang tahun 2030, berbanding 2,436 kilometer pada tahun 2024.
“KKR juga akan melaksanakan beberapa projek bagi menjaga keselamatan pengguna dengan pemasangan lampu jalan, isyarat lalu lintas dan sistem pemantauan kelajuan bagi mengurangkan kemalangan,” jelas beliau.