KOTA KINABALU - Program pembangunan dan peruntukan yang diumumkan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sejajar dengan pelan pembangunan negeri, Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik komitmen kerajaan Persekutuan yang diterjemahkan melalui pembentangan RMK13 yang menyokong aspirasi pembangunan Sabah.
“Ia jelas mencerminkan sokongan padu kerajaan Persekutuan terhadap Sabah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut berpuas hati apabila beberapa projek berimpak tinggi yang dicadangkan telah dimasukkan dalam pelan pembangunan jangka panjang itu.
“Antara projek yang dicadangkan termasuk perluasan utiliti kritikal seperti bekalan air, sistem pembetungan dan pemindahan air, pembinaan infrastruktur strategik seperti jalan raya, tebatan banjir dan kemudahan kesihatan, serta pembangunan Hab Ekonomi Biru,” katanya.
Menurut beliau, RMK13 juga memberi keutamaan kepada pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, sejajar dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara di Kalimantan Timur.
“Turut diberi penekanan adalah strategi pembasmian kemiskinan secara intensif serta sokongan terhadap transformasi digital dan pengukuhan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri ketika ini sedang merangka pelan menyeluruh bagi memastikan Sabah terus mara ke hadapan selaras dengan matlamat pembangunan inklusif dan lestari.