HULU SELANGOR - Mayat lelaki dengan keadaan kaki dan tangan diikat ditemui berhampiran landasan kereta api di Kampung Sungai Serian, Kalumpang di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 10.30 pagi.
"Hasil siasatan mendapati mangsa dijumpai di tepi landasan kereta api yang dipercayai telah dicampak dari jambatan Kampung Sungai Serian yang berketinggian 11.15 meter.
"Siasatan pihak forensik mendapati mangsa telah diikat kaki dan tangan. kepalanya telah dibalut dengan kain juga dilekatkan pita pelekat hitam dan putih," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ibrahim berkata, pemeriksaan fizikal oleh pihak forensik juga mendapati mangsa telah meninggal dunia melebihi dari empat hari kerana keadaan mayat telah mengalami pereputan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa tidak menjumpai sebarang dokumen diri. Mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 9 pagi Jumaat.
"Kes ini disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan," ujar beliau.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Fadli Abdul Aziz di talian 03-60641222.