PRACHIN BURI – Polis Thailand kini sedang memburu dua wanita warga Kemboja selepas tular satu video yang memaparkan mereka memijak bendera negara itu sambil menunjukkan isyarat lucah di media sosial.
Portal Thaiger melaporkan, video tersebut dimuat naik di TikTok dan telah mencetuskan kemarahan rakyat Thailand susulan ketegangan semasa di sempadan Thailand-Kemboja.
Rakaman berkenaan menunjukkan kedua-dua wanita terbabit memegang bendera Thailand sambil mengangkat jari tengah sebelum membaling dan memijaknya.
Berdasarkan pakaian dan latar lokasi dalam video, mereka dipercayai merupakan pekerja binaan di sebuah tapak milik pengilang China yang terletak di Kawasan Perindustrian Bor Thong 33, daerah Kabin Buri.
Ketua Polis Wilayah Prachin Buri, Mejar Jeneral Kiattisak Sathongwian berkata, siasatan sedang giat dijalankan, namun lokasi sebenar kejadian masih belum dikenal pasti.
Beliau menegaskan tindakan kedua-dua wanita itu melanggar Seksyen 118 Kanun Jenayah Thailand kerana menghina simbol negara.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda maksimum 40,000 baht (RM5,200) atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Gabenor Prachin Buri, Weeraphan Dee-on memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang berusaha mengelakkan sebarang provokasi atau insiden fizikal susulan insiden tersebut.
Pihak polis turut meminta bantuan orang awam yang mengenali suspek atau mengetahui lokasi rakaman video itu agar tampil membantu siasatan. – Agensi