RMK13 beri kelebihan Kerajaan Madani hadapi PRU16 – Hassan Karim

Iklan
Hassan Karim

JOHOR BAHRU – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis memberi peluang kepada Kerajaan Madani menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan dasar lengkap bagi tempoh lima tahun akan datang iaitu dari 2026 hingga 2030.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pembentangan tersebut merupakan kelebihan kepada Kerajaan Madani yang terdiri daripada gabungan 18 parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui oleh Anwar.

Iklan
Iklan

“Jadi, dokumen lengkap RMK13 ini yang disampaikan intisari dan intipatinya secara lisan di Parlimen oleh Anwar bolehlah dianggap semacam manifesto pilihan raya parti-parti politik yang bergabung dalam Kerajaan Madani yang mentadbir kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Hassan, pembentangan RMK13 yang merupakan dokumen rasmi kerajaan memberikan keyakinan kepada rakyat, golongan usahawan serta pelabur luar dan dalam negara bahawa ia bukan sekadar manifesto politik, sebaliknya dasar ekonomi negara yang dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.

Iklan

“Dokumen lengkap RMK13 yang tebal itu merekodkan pencapaian sosioekonomi Malaysia bagi tahun 2021 hingga 2025. Contohnya, sasaran 10 tahun Ekonomi Madani adalah untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia. Namun, setakat tahun 2024, Malaysia mencapai kedudukan ke-36 ekonomi terbesar dunia. Ini adalah satu fakta pencapaian yang dapat diukur,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembentangan secara rasmi dan terbuka itu membuktikan Malaysia mempunyai perancangan yang jelas menuju tahun 2030, termasuk sasaran ekonomi makro dan usaha menangani kos sara hidup rakyat.

Iklan

“Satu kekuatan Anwar dan Kerajaan Madani pimpinannya ialah beliau fokus dalam memperbaiki kedudukan ekonomi Malaysia. Ini ditunjukkan oleh Anwar bahawa dalam tempoh lima tahun RMK13, Kerajaan Madani akan mengemukakan 10 keutamaan kerencaman ekonomi. Contohnya, kerajaan akan mereformasi industri semikonduktor tempatan,” katanya.

Ujarnya lagi, kerajaan turut menggariskan dasar berkaitan reformasi pendidikan, pasaran buruh serta peningkatan taraf sosioekonomi golongan sasar.

“Dalam setiap inisiatif dan dasar lima tahun yang akan datang, dokumen RMK13 dengan jujur dan telus boleh disemak dan diteliti pencapaian setiap satu dalam RMK12, yang mana Kerajaan Madani turut terlibat dan mentadbir negara sebagai kerajaan mulai November 2022 hingga kini,” tambah beliau.

Hassan berkata, RMK13 turut menyatakan dasar kerajaan untuk melaksanakan agenda reformasi perkhidmatan awam serta dasar meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Sebagai contoh, dinyatakan sasaran kerajaan bagi tahun 2030 ialah sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik siap dibina. Namun, setakat Mac 2025, hanya 179,769 unit rumah mampu milik yang siap dibina. Ertinya, kerajaan menyedari banyak yang perlu dilakukan lagi untuk mereformasikan sektor perumahan negara dalam tempoh RMK13,” katanya.

Beliau turut menyentuh perhimpunan besar pada 26 Julai lalu di ibu negara yang menuntut Anwar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Lima hari kemudian di Parlimen, Anwar di Dewan Rakyat membentangkan satu dasar ekonomi yang lengkap untuk negara Malaysia dan rakyatnya, iaitu dasar ekonomi bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Setelah mendengar Anwar Ibrahim membentangkan RMK13 itu di Parlimen, adakah wajar lagi untuk rakyat menuntut Anwar turun, sedangkan dialah orang yang diharapkan untuk menerajui dan melaksanakan cita-cita yang terkandung dalam RMK13 tersebut?” soal Hassan.