CAP sokong cukai produk tembakau, vape dan alkohol, cadang namakan ‘Cukai Kanser’

Iklan
Subbarow

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan cukai ke atas produk tembakau, vape dan alkohol yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV Subbarow berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya langkah kerajaan itu dalam usaha membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat yang boleh mengundang pelbagai penyakit kronik seperti kanser.

Iklan
Iklan

“CAP mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas ketegasan beliau dalam menangani isu kesihatan awam.

"Langkah ini sangat tepat dan wajar disokong oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, CAP mencadangkan agar cukai tersebut dinamakan sebagai ‘Cukai Kanser’ bagi memberi peringatan jelas kepada masyarakat tentang bahaya produk terbabit terhadap kesihatan.

“Dengan adanya cukai ini, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kadar penggunaan produk tembakau, vape dan alkohol malah memberi mesej jelas bahawa kerajaan serius dalam menangani krisis kesihatan yang melibatkan NCD,” katanya.

Iklan

Tambahnya, CAP berharap penguatkuasaan terhadap penjualan produk berisiko ini turut diperkukuh terutamanya dalam kalangan remaja dan belia.

Terdahulu, kerajaan akan memperluaskan cukai prokesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol untuk membendung NCD seperti diabetes.

Mengumumkan perkara itu ketika membentangkan RMK13, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu menunjukkan ketegasan kerajaan dalam menangani risiko kesihatan.

Kata Anwar lagi, cukai prokesihatan akan diperluas daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan sekadar untuk hasil tetapi bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan NCD yang kian membimbangkan.