Beras tempatan tidak laku di pasar raya, Jualan Rahmah - Fuziah

Iklan
Fuziah Foto: Bernama

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh memaklumkan bahawa keadaan lambakan beras putih tempatan berpotensi menjejaskan jualan barangan tersebut dalam pasaran negara ini.

Ujarnya, situasi tersebut turut menyebabkan permintaan terhadap beras berkenaan menurun di kebanyakan kawasan termasuk di pasar raya dan program Jualan Rahmah Madani.

Iklan
Iklan

“Sebelum ini rakyat bising berkenaan tiadanya bekalan beras tempatan seolah-olah kerajaan gagal menyediakannya.

“Namun apabila beras tempatan penuh di pasar raya, ia tidak laku. Di program Jualan Rahmah pun tidak laku.

Iklan

“Jadi, naratif yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pulai (Suhaizan Kayat) mungkin ada kebenarannya atau mungkin direka. Daripada pengamatan kami, (beras tidak laku) ini yang berlaku,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan pada Khamis.

Fuziah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Suhaizan yang berkaitan sama ada kenaikan harga akibat peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan tarif elektrik membebankan rakyat, sedangkan situasi kini didakwa menunjukkan sebaliknya.

Iklan

Suhaizan dalam sesi pertanyaan membangkitkan bahawa meskipun kenaikan harga memberi tekanan kepada rakyat, namun premis pasar raya dan restoran masih dilihat penuh dengan pengunjung, manakala jalan raya juga sesak dengan kenderaan di lebuh raya.

Menurut Fuziah, ekonomi rakyat disifatkan sebagai perkara yang subjektif memandangkan setiap individu mempunyai beban kos sara hidup yang berbeza.

“Memang betul pengamatan Ahli Parlimen Pulai, apabila pergi ke premis pasar raya atau restoran, memang dilihat penuh dengan pengunjung.

“Namun pada masa sama, ada juga sebahagian ahli masyarakat yang merasakan kesusahan dalam hidup,” ujarnya.