KOTA TINGGI – Ramai menyangka buah anggur hanya sesuai ditanam di kawasan beriklim sejuk dan tanah tinggi.
Namun, tanggapan itu disangkal oleh sepasang suami isteri dari Sedili Kecil, di sini, apabila tanaman anggur mereka berjaya membuahkan hasil walaupun hanya di laman rumah dengan suhu mencecah lebih 30 darjah Celsius.
Arun Ssamandaewa, 35, dan isterinya, Siti Noreha Zulkapli, 32, mula menanam anggur di halaman rumah sejak awal tahun lalu, pada mulanya sekadar hobi untuk mengisi masa lapang.
“Meskipun tidak mempunyai sebarang ilmu pertanian, saya memang minat bercucuk tanam. Jadi, saya belajar sendiri cara-cara menanam anggur daripada YouTube dan Facebook.
“Kami cuba tanam enam pokok dahulu. Sekarang, kami ada 12 pokok membabitkan 12 jenis anggur antaranya Shine Muscat, Baikonur, Wies, Julian, Super Sweet dan Miniature Finger,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, benih anggur diperoleh secara terus daripada komuniti penanam anggur tempatan yang dikenalinya melalui media sosial.
Sementara itu, Siti Noreha berkata, kejayaan tanaman tersebut bergantung kepada pemilihan varieti yang sesuai dengan iklim tropika, serta kaedah fertigasi dan penjagaan rapi termasuk penyediaan jaring pelindung cahaya.
Katanya, pokok anggur yang ditanam secara berperingkat kini mampu mengeluarkan hasil selepas enam bulan dan berbuah dua kali setahun, dengan anggaran hasil melebihi dua kilogram setiap pokok.
“Awal-awal dulu ramai tak percaya anggur boleh hidup dalam cuaca panas. Tapi Alhamdulillah, hasil tuaian pertama hingga ketiga membuktikan tanaman ini boleh berjaya jika diuruskan dengan betul.
“Rasanya pun manis, setanding dengan anggur yang dijual di pasar raya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, tanaman anggur mereka kini menjadi perhatian ramai termasuk penduduk kampung serta pengunjung luar yang tertarik untuk melihat sendiri kejayaan tersebut.
“Di sini kami juga usahakan ternakan kelulut dan pernah menerima lawatan daripada Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu program baru-baru ini.
“Dari situlah ramai tahu kami juga tanam anggur. Ketua kampung pun kadang-kadang bawa pelawat ke sini,” katanya.
Pasangan itu merancang untuk memperluaskan lagi tanaman tersebut secara berperingkat dan mengkomersialkannya bagi pasaran tempatan pada masa akan datang.