PETALING JAYA - New Pantai Expressway (NPE) Sdn Bhd dan Besraya (M) Sdn Bhd mengumumkan penutupan sementara Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) bermula jam 1 pagi hingga jam 11 pagi pada 3 Ogos ini.
Penutupan ini bagi memberi laluan kepada acara tahunan IJM Duo Highway Challenge Run 2025 dianjurkan EC Pixels Asia Sdn Bhd, dengan IJM Corporation Berhad selaku penaja utama.
Ketua Pegawai Eksekutif bagi kedua-dua lebuh raya, Ts Wan Salwani Wan Yusoff memohon agar pengguna menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang penutupan sementara ini.
"Butiran berkenaan laluan alternatif boleh diperoleh dengan melayari platform media sosial NPE dan Besraya," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Wan Salwani turut menambah, penutupan sementara ini telah mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang acara. Pasukan pengurusan trafik serta kakitangan teknikal turut akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan pelaksanaan acara berjalan dengan lancar," ujarnya.
Lokasi penutupan yang terlibat adalah seperti Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dari KM 1.8 di Bulatan Kewajipan (Subang Jaya) ke KM 11 ke arah Bangsar, dari Kuchai Lama Entrepreneurs Park ke Plaza Tol Pantai Dalam di kedua-dua arah.
Sementara di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) melibatkan persimpangan bertingkat Kuchai Lama sehingga ke Jalan Pandan 1 di KM 21.9 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di kedua-dua arah.
"Semua pelari, penyokong serta penonton dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan tiba lebih awal pada hari acara. Maklumat lanjut mengenai larian ini boleh didapati di media sosial acara iaitu Instagram @ijm_highway_run dan Facebook @IJM Allianz DUO Highway Challenge Run," tambahnya.
Untuk maklumat lanjut dan bantuan kecemasan di kedua-dua lebuh raya, sila hubungi talian hotline Lebuhraya NPE: 1-300-88-1010, Lebuhraya Besraya: 1-800-88-0999 dan pihak Besraya dan NPE memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama semua pihak dalam menjayakan acara ini.