Taktik provokasi, cubaan lari dan menyamar pelanggan gagal

Iklan
Antara warga asing yang ditahan untuk tindakan lanjut dalam operasi sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir warga asing yang cuba mencetuskan provokasi serta menyamar sebagai pelanggan bagi mengelak ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Jalan Masjid India, di sini mengundang padah apabila mereka diberkas dalam operasi pada Selasa.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah hari itu, beberapa warga asing dikesan cuba menghalang anggota imigresen daripada melakukan pemeriksaan, selain berpura-pura membeli barangan di premis sekitar bagi mengaburi pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Namun, helah tersebut gagal apabila pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, operasi khas itu melibatkan lebih 160 pegawai dan anggota JIM Putrajaya, dengan risikan dan pemantauan bermula seawal jam 10 pagi.

Iklan

"Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat warga asing yang bertindak agresif, cuba melarikan diri dan melakukan provokasi bagi mengganggu tugas anggota dan pegawai.

"Malah, ada yang menyamar sebagai pelanggan kedai, tetapi selepas diperiksa, mereka sebenarnya adalah pekerja premis berkenaan tanpa dokumen sah," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan.

Iklan

Menurutnya, operasi menyasarkan premis-premis di lokasi berikutan aduan awam berkenaan penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah.

"Sebanyak 14 premis diperiksa dan seramai 758 warga asing disaring. Hasilnya, 171 individu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tiada pas kerja, dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah," jelasnya.

Tambahnya, operasi turut berdepan cabaran apabila hujan lebat berlaku ketika pemeriksaan dijalankan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Indonesia yang didapati bekerja secara tidak sah di premis sekitar kawasan operasi," katanya.

Beliau turut mengingatkan para majikan agar memastikan pekerja asing yang diambil bekerja memiliki dokumen serta pas kerja sah bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

"Majikan yang gagal mematuhi peraturan penggajian akan dikenakan tindakan sewajarnya. Kita tidak akan berkompromi dalam soal ini. Jika ditahan ketika operasi, tindakan tegas akan diambil," tegasnya.