KOTA BHARU – Demi mendapatkan tenaga untuk memanjat pokok kelapa setinggi lebih tiga meter, seorang remaja lelaki sanggup menghisap pil kuda.
Difahamkan, remaja terbabit telah berhenti sekolah menengah dan mengambil upah memanjat pokok kelapa demi mencari rezeki.
"Saya ambil pil kuda sebab nak rajin dan bertenaga panjat pokok kelapa. Pokok tu tinggi, lebih 10 kaki (tiga meter lebih).
“Bentuk pil tu bulat, warna merah dan ada tulisan WY. Cara hisapnya menggunakan straw (penyedup minuman), mancis dan kertas rokok lut sinar,” katanya.
Pendedahan itu dikongsikan menerusi satu hantaran video berdurasi 3 minit 32 saat yang dimuat naik Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Bharu di platform TikTok, sekali gus menarik perhatian ramai dengan lebih 2.2 juta tontonan.
Remaja terbabit kini menjalani rawatan pemulihan di PUSPEN dan mengakui terjebak dengan najis dadah demi mencari rezeki.
Remaja tersebut merupakan anak ketiga daripada enam beradik dan abang sulungnya berusia 19 tahun turut didedahkan sebagai penagih dadah.
Pendedahan PUSPEN Kota Bharu itu merupakan salah satu usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda tentang bahaya penyalahgunaan dadah.