Dua sesak nafas terperangkap dalam lif, lebih 100 penghuni cemas kondominium terbakar

Iklan
Tngkat lima kondominium 25 tingkat terbakar pada awal pagi Selasa. Foto kanan: Penghuni terdiri pelancong asing dan tempatan cemas lalu keluar dari bangunan kondominium susulan kebakaran di tingkat lima bangunan tersebut.

KOTA KINABALU - Dua lelaki sesak nafas selepas terperangkap dalam lif, manakala lebih 100 penghuni sebuah kondominium di bandar raya ini cemas susulan kebakaran di tingkat lima bangunan itu pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba, sebelum kesemua penghuni termasuk pelancong asing dan tempatan keluar dari kondominium 25 tingkat berkenaan.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Muhammad Taquiddin Viktor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.57 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota terdiri dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikejar ke lokasi kejadian.

Iklan

"Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan barang pembinaan di tingkat lima di kawasan tempat letak kereta.

"Terdapat dua mangsa terperangkap dalam lif dan berjaya diselamatkan dan seterusnya diberi rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba akibat sesak nafas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan menggunakan Sistem Salur Bantu Mula di dalam bangunan tersebut.

"Operasi terkawal pada pada jam 3.25 pagi dan ditamatkan tidak lama kemudian selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut," katanya.