Lelaki maut tertusuk taji ayam laga beracun

Iklan
Kejadian berlaku ketika dua ayam jantan sedang dipersiapkan untuk bertarung.Gambar hiasan.

DENPASAR – Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas tertusuk taji ayam laga beracun ketika menyaksikan pertunjukan sabung ayam di Denpasar Timur, Bali pada Ahad.

Mangsa yang dikenali sebagai INS disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian perut dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan.

Iklan
Iklan

Jurucakap Polis Denpasar, AKP I Ketut Sukadi berkata, mangsa sempat dikejarkan ke Rumah Sakit Puri Raharja namun disahkan meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati luka di bahagian perut mangsa berukuran 14 sentimeter panjang dan lima sentimeter lebar dengan kedalaman hingga 14 sentimeter.

Iklan

“Terdapat juga kesan luka di punggung sepanjang empat sentimeter dan luka kecil di paha kanan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sukadi berkata, kejadian berlaku ketika dua ayam jantan sedang dipersiapkan untuk bertarung, masing-masing dipegang dua individu dikenali sebagai SO dan BI.

Iklan

Ayam milik SO secara tiba-tiba terlepas dan terus menyerang ayam BI, menyebabkan lelaki itu melompat keluar dari gelanggang kerana panik.

Bagaimanapun, mangsa yang berada di sisi BI tidak sempat mengelak lalu terkena tikaman taji ayam tersebut.

“Mangsa mengalami pendarahan dan segera dibantu beberapa individu di lokasi sebelum dibawa ke hospital,” jelasnya.

Menurutnya, ketika pemeriksaan awal dilakukan, mangsa didapati sudah tidak mempunyai denyutan nadi dan disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa pulang ke kampung halamannya di Karangasem, Bali oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Insiden itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap keselamatan aktiviti sabung ayam yang masih dijalankan secara terbuka di sesetengah kawasan.

Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang berkaitan kejadian tersebut.- KOMPAS.com