Polis buru pemandu langgar lari wanita hingga maut

Iklan
Polis meninjau lokasi kejadian di Jalan Kampung Kimbabangan, Penampang.

PENAMPANG - Seorang wanita maut akibat dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari ketika berjalan bersama anak lelakinya di Jalan Kampung Kimbabangan di sini pada malam Sabtu.

Wanita tempatan berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia pada awal pagi Ahad ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), manakala anaknya kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian berlaku ketika wanita tersebut sedang berjalan kaki bersama anaknya.

Mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan ketika berjalan bersama anak lelakinya di Jalan Kampung Kimbabangan, Penampang pada Sabtu lepas.

Iklan

“Mereka dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan yang kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.15 pagi keesokan harinya ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan HQEI, manakala anaknya kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Susulan kejadian itu, Sammy berkata, usaha mengesan pemandu kenderaan terbabit sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan terus ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.