Ahli perniagaan rugi lebih RM100,000 ditipu 'Datuk'

Iklan
Mazli menunjukkan salinan laporan polis dan mesej kepada Mirza selepas sidang akhbar di sini hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM100,000 dipercayai akibat ditipu oleh rakan kongsinya yang bergelar 'Datuk' dalam satu urusan jual beli lembu korban baru-baru ini.

Mangsa, Mazli Hamzah, 38, berkata, dia menyedari dirinya ditipu apabila rakan kongsi yang dikenali sebagai Datuk Mirza Nizam melarikan diri tanpa menunaikan janji membekalkan lembu korban ke Thailand seperti yang telah dipersetujui.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berlaku pada 15 Mac lalu kira-kira jam 10 malam ketika dia berada di sebuah premis di Bandar Dato Onn, di mana perbincangan berkaitan pelaburan dalam perniagaan lembu korban itu diadakan.

"Pada pertemuan tersebut, saya telah menyerahkan wang secara tunai kepada Mirza Nizam sebagai modal perniagaan. Dia memberikan jaminan bahawa keuntungan akan diagihkan sebanyak tiga kali ganda menjelang Aidiladha.

Iklan

"Saya percaya telah ditipu, apabila panggilan telefon tidak lagi dijawab dan individu terbabit tidak berada di rumah sewa mahupun premis perniagaan seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Mazli kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato Onn pada 21 Julai lalu dan hasil siasatan mendapati bahawa Mirza pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan menggunakan gelaran 'Datuk' palsu dan mempamerkan lambang Diraja Pahang pada tahun 2022.

Iklan

Dia berkata, setelah mengetahui laporan polis dibuat, Mirza turut membuat laporan balas pada 25 Julai di balai yang sama dan mengugut untuk menyamannya atas dakwaan memalukan nama baik dengan tuntutan sebanyak RM10 juta.

Mazli berkata, dia hanya berharap agar perkara itu dapat diselesaikan secara baik dan wang pelaburannya dikembalikan.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Selatan mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung isu terbabit dan sedang dalam melengkapkan siasatan.