KUALA TERENGGANU –"Ya ALLAH, lindungilah dia daripada fitnah, godaan kuasa dan kesilapan yang menyesatkan."
Demikian titipan doa abang kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sempena Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Isnin.
Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, pelantikan itu merupakan satu penghargaan dan amanah besar yang memerlukan kekuatan iman serta kebijaksanaan untuk memimpin dengan adil dan saksama.
"Jadikanlah dia Ketua Hakim yang tegas, jujur dan amanah, yang menegakkan kebenaran tanpa takut atau gentar.
"Ya ALLAH, peliharalah langkahnya, berkatilah tugasnya dan jadikanlah pelantikannya rahmat untuk negara dan rakyat," kongsi beliau menerusi hantaran di laman sosialnya pada Isnin.
Pada istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara, Wan Ahmad Farid, 62, turut mengangkat serta melafaz sumpah taat setia jawatan.
Pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.
Wan Ahmad Farid yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, turut dikurniakan Suratcara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.