Kunjungi Maze Gergasi, Rumah Hantu waktu kurang sesak, elak menunggu

Iklan
Pelajar tidak melepaskan peluang merasai keterujaan pengalaman seram di Rumah Hantu.

SHAH ALAM - Pengunjung Karnival Siang Malam @Karangkraf disarankan mengambil kesempatan merasai sendiri keseronokan permainan Maze Gergasi dan Rumah Hantu di luar waktu puncak, iaitu antara jam 3 hingga 4 petang dan 5 hingga 7 petang.

Eksekutif Kanan Pemasaran Sinar Harian, Hazwan Shaharuddin berkata, saranan itu dibuat kerana kadar kehadiran pengunjung tidak terlalu ramai pada waktu berkenaan, sekali gus membolehkan tempoh menunggu giliran menjadi lebih singkat.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau mengajak orang ramai yang ingin merasai keterujaan menyertai dua permainan tersebut untuk hadir pada dua tempoh luar waktu puncak berkenaan.

“Tahun ini, dua permainan terbabit mendapat sambutan amat hangat daripada pengunjung yang ingin merasai sendiri pengalaman baharu yang cukup menyeramkan.

Iklan

“Sepanjang masa, orang ramai dilihat tidak berhenti-henti beratur untuk memasuki ruang permainan, khususnya pada waktu puncak, dan ramai yang teruja mengalami pengalaman itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Maze Gergasi dibuka bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam dengan tiket masuk hanya RM5.

Iklan

Hazwan memaklumkan, pengunjung tidak wajar melepaskan peluang ini memandangkan aktiviti Rumah Hantu pada tahun ini lebih menyeramkan dan penuh suspens berbanding tahun lalu, manakala permainan Maze Gergasi pula dipercayai antara yang terbesar di Selangor.

Menurut beliau, acara komuniti berskala besar itu akan tamat pada Ahad dan orang ramai digalakkan hadir beramai-ramai untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.

Antara tarikan utama karnival termasuk Maze Gergasi, Rumah Hantu, go-kart, Pasar Saloma, fun fair, rewang, night parade, persembahan dikir barat dan koir sekolah serta pelbagai pertandingan seni dan sukan yang melibatkan golongan belia dan pelajar sekolah.

Maze Gergasi dibuka bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam dengan tiket masuk hanya RM5, manakala Rumah Hantu turut ditawarkan pada harga sama dan boleh dibeli di kaunter pendaftaran sepanjang karnival berlangsung.