AKPS sekat kemasukan 99 warga asing di KLIA

Iklan
AKPS berjaya menyekat kemasukan 99 warga asing di KLIA Terminal 1, pada Jumaat. Foto AKPS

SEPANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menolak masuk 99 warga asing yang tidak mematuhi syarat imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini pada Jumaat.

AKPS dalam kenyataan berkata, kesemua warga asing terbabit gagal melepasi saringan keselamatan dalam satu operasi khas yang bermula pada jam 9.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Operasi yang menyasarkan penerbangan berisiko tinggi itu menyaksikan lebih 400 individu diperiksa secara rapi.

"Mereka yang ditolak kemasukan terdiri daripada 80 lelaki warga Bangladesh, 10 warga India dan sembilan warga Pakistan," katanya pada Sabtu.

Iklan

Tambah AKPS, penolakan dibuat kerana warga asing terbabit gagal memenuhi syarat imigresen, termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan.

Jelasnya, kesemua 99 individu tersebut telah diuruskan untuk proses dokumentasi lanjut dan dihantar pulang ke negara asal mengikut prosedur undang-undang sedia ada.

Iklan

"Operasi intensif itu berlangsung dari jam 9.30 pagi, diketuai oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti. Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual secara individu," ujarnya.

Tegas AKPS, langkah penguatkuasaan seperti ini akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia ‘counter setting’ dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.