JOHOR BAHRU – UDA Holdings Berhad (UDA) pada Jumaat telah melancarkan projek Kedai Kos Sederhana (KKS) UDA Vista melibatkan 62 unit ruang niaga bersaiz 1000 kaki persegi (92.903 meter persegi) pada harga mampu milik bernilai RM200,000 seunit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata pembangunan ini merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat besar kepada bumiputera di negeri Johor.
Katanya, projek tersebut turut mendapat kelulusan penuh daripada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dengan keseluruhan kuota unit diperuntukkan khusus kepada bumiputera.
“UDA merakamkan penghargaan kepada PKPJ atas penganjuran JPEX 2025 yang telah memberi peluang untuk pelancaran projek KKS UDA Vista ini disegerakan lebih awal daripada jadual asal pada September 2025.
“Ini adalah peluang masyarakat Johor untuk memiliki ruang perniagaan yang kompetitif dan berkualiti tinggi pada harga hanya RM200,000,” katanya.
Pelancaran UDA Vista telah berlangsung di reruai UDA sempena Johor Property Expo 2025 (JPEX 2025) yang bertempat di Angsana Johor Bahru Mall, pada Jumaat.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Johari Shukri Jamil.
JPEX 2025 diadakan bermula 25 hingga 27 Julai 2025 telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Difahamkan, permohonan awal pembelian rumah kini telah dibuka secara langsung melalui sistem e-Rumah Johor di bawah kategori rumah mampu milik negeri Johor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd, Muhammad Ismail Dasuki turut memaklumkan, pelbagai perancangan lebih besar sedang digerakkan oleh UDA bersama kerajaan negeri.
"Selain UDA Vista, UDA turut memperkenalkan pelbagai lagi produk hartanah baharu di sekitar Johor termasuk rumah berkembar dan rumah bandar di Bandar Baru UDA (BBU), lot kedai, rumah teres dua tingkat, banglo dan rumah separa banglo (semi-D).
“Kami menggalakkan orang ramai mengemukakan permohonan awal kepada UDA untuk memiliki rumah-rumah di bawah projek sedia ada dan akan datang di Johor. Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan UDA dalam menyokong aspirasi pemilikan hartanah bumiputera secara mampan,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh mengakses maklumat lanjut dan membuat permohonan melalui laman eRumah Johor.