SHAH ALAM - Penganjuran Sinar Pyjamas Fun Walk sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 meyaksikan penyertaan daripada pelbagai peserta dengan pakaian tidur yang unik dan menarik perhatian.
Sebuah keluarga tampil unik dan sedondon apabila mengenakan pemakaian baju tidur warna unggu serta memakai perhiasan lampu berwarna-warni sewaktu acara tersebut.
Penjawat awam, Hasliza Abdul Hamid, 41, berkata, mereka membelanjakan kurang daripada RM100 untuk pakaian berkenaan.
"Ideanya bermula apabila saya mencari sesuatu yang unik di Google. Saya tertarik dengan konsep bedak sejuk yang jarang digunakan pada masa kini lalu gabungkannya dalam rekaan baju.
"Harganya tidak sampai RM100 kerana kebanyakkan hiasan adalah hasil buatan sendiri," Katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, ia merupakan kali pertama mereka menyertai acara 'funwalk' yang menggunakan tema pemakaian baju tidur.
"Saya gemar mencari acara yang mempunyai kategori pemakaian terbaik agar keluarga saya dapat tampil unik.
"Program seumpama ini juga bermanfaat kerana memupuk semangat orang ramai untuk beriadah, terutamanya dalam kalangan generasi sekarang yang gemar aktiviti fizikal seperti 'fun run' dan 'fun walk'," ujarnya.
Sementara itu, pekerja eksekutif, Azura Kamaruddin, 45, berkata, dia bersama empat orang rakannya juga memilih konsep haiwan sebagai tema pakaian tidur mereka sempena aktiviti tersebut.
Katanya, baju dipakainya itu dibeli secara dalam talian pada harga tidak sampai RM30.
"Ini bukan kali pertama kami sertai program 'funwalk', cuma untuk konsep baju tidur ini adalah kali pertama.
"Saya harap program tersebut dapat diadakan lagi pada penganjuran akan datang. Setiap tahun tukar tema berbeza," ujarnya.
Dalam pada itu, Penyelaras Program Sinar Pyjamas Fun Walk, Nurul Riduan Nor Ashaha berkata, acara berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih kurang 600 peserta.
"Kita ada membuat cabutan bertuah selepas aktiviti tersebut. Sebanyak 40 hadiah akan diberikan pada peserta yang bertuah.
"Selain itu, pertandingan 'Pakaian Terbaik Mengikut Tema' juga dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang terlibat.
"Pertandingan ini akan memilih enam pemenang, masing-masing merangkumi tiga peserta lelaki dan tiga wanita," menurutnya.
Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 membuka tirai dengan pelbagai pengisian menarik disediakan untuk pengunjung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula pada Jumaat hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 12 malam.
Antara aktiviti yang akan berlangsung selama tiga hari karnival berlangsung ialah rumah hantu, maze gergasi, go-kart, pasar Saloma, pertandingan melibatkan pelajar sekolah dan jualan buku yang menawarkan promosi menarik.