SEREMBAN - Seorang bapa merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan anak perempuannya yang menghidap kanser neuroblastoma atau kanser saraf tahap empat, yang berjumlah hampir setengah juta.
Roshizam Rosli, 50, berkata, dengan dirinya yang hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM2,200 sebulan selain menanggung tujuh anak, amat mustahil dia dapat mengumpulkan wang sebanyak itu.
Menurutnya, anak ketiganya, Nurul Syahira Aliesya, 17, disahkan menghidap penyakit terbabit pada Mac tahun lalu dan telah pun menjalani empat kali pembedahan bagi membuang ketumbuhan dan 12 kali rawatan radioterapi.
"Anak saya mulanya mengadu sakit perut dan hanya disahkan mengalami gastrik. Selepas dirujuk ke beberapa klinik dan hospital, benjolan di lehernya yang disangka beguk sebenarnya tanda kanser," katanya.
Menurutnya, anaknya kini menerima rawatan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur dan sejak November 2024, anak sudah menjalani empat kali pembedahan bagi membuang ketumbuhan.
"Selain itu sudah dua kali dia jalani kimoterapi dan dah buat 12 kali radioterapi. Cumanya, selepas ini, dia perlu menjalani Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba) yang memerlukan kos RM574,740,"katanya.
Dia mengakui buntu dan tidak dapat tidur lena memikirkan kos rawatan tersebut kerana jumlahnya yang terlalu tinggi.
Justeru itu, dia memohon kepada orang ramai bagi membantu memberikan sumbangan untuk menampung kos rawatan terbabit.
"Saya memang tak mampu dan saya merayu sangat kepada mana-mana pihak yang prihatin membantu meringankan beban kami untuk menampung kos rawatan ini.
"Saya difahamkan ini adalah rawatan terakhir yang diperlukan anak untuk sembuh," katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban Roshizam boleh menyalurkan bantuan di akaun Maybank miliknya di 155109002136.