KUALA LUMPUR - Tiada cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) termasuk di kawasan luar bandar ditutup setakat ini.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
“Tidak ada cawangan ditutup, tetapi berdasarkan rekod, cawangan-cawangan yang mencatatkan jumlah transaksi sangat rendah akan digantikan dengan satu produk atau inisiatif baharu yang dinamakan TH Gerak.
“TH Gerak ini merupakan kaunter bergerak yang beroperasi dari satu lokasi ke lokasi lain dan jadual pergerakannya akan dimaklumkan melalui media sosial dan laman sesawang bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat serta hadir ke kaunter berkenaan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang ingin mengetahui jumlah pejabat TH di negeri dan daerah serta dakwaan bahawa sebahagian pejabat tersebut akan ditutup.
Menurut Zulkifli, ketika ini terdapat sebanyak 107 cawangan TH yang masih beroperasi di seluruh negara.
Sementara itu, ketika menjawab mengenai kesukaran segelintir jemaah haji Malaysia mendaftar data biometrik melalui aplikasi Saudi Visa Bio, beliau memaklumkan bahawa isu berkenaan berada dalam pengetahuan pihaknya.
Katanya, masalah tersebut berpunca daripada faktor teknikal seperti ketidakserasian peranti mudah alih, ketidaktepatan pengimbasan wajah atau cap jari, dan keperluan sistem aplikasi tersebut untuk ditingkatkan mengikut keperluan semasa.
“Bagi Musim Haji 1446H/2025M, TH telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi membantu jemaah Malaysia menggunakan aplikasi ini dengan lebih mudah.
“TH turut menyediakan panduan lengkap serta sokongan kepada jemaah menerusi portal rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my bagi memuat turun dan menggunakan aplikasi Saudi Visa Bio,” ujarnya.