SHAH ALAM- Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menganjurkan Program Libat Urus bersama Kolej-Kolej Bersekutu (KKB) UiTM.
Ketua Eksekutifnya, Profesor Dr Faizah Abd Majid berkata, program libat urus itu dilaksanakan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat.
Menurutnya, iCEPS akan terus menyokong sistem pendidikan fleksibel dan inklusif melalui kolaborasi erat bersama KKB, terutamanya dalam memastikan pelajar golongan B40 terus mendapat peluang pengajian tanpa beban kewangan.
“Menerusi program hibrid yang berlangsung dari bilik mesyuarat utama iCEPS, kami membincangkan beberapa agenda penting, termasuk cadangan penubuhan Konsortium KKB, penetapan kriteria pemberian insentif kepada pelajar B40 dan isu berkaitan baki dana serta penambahbaikan pengurusan pelajar.
“Penubuhan Konsortium KKB bukan bertujuan menyekat autonomi kolej, sebaliknya sebagai langkah menyelaras pentadbiran, meningkatkan kualiti akademik serta memanfaatkan perkongsian sumber dalam ekosistem iCEPS–KKB.
“Program ini menjadi platform penting dalam merangka dasar dan pelaksanaan yang lebih berkesan demi kelestarian program kerjasama UiTM bersama kolej bersekutu di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.