PUTRAJAYA - Pengumuman pelbagai inisiatif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan dasar kerajaan Madani yang berpijak di bumi nyata, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan tidak bersifat retorik, sebaliknya benar-benar menyentuh kehidupan harian rakyat serta menghargai peranan mereka sebagai tulang belakang kejayaan negara.
“Segala pertumbuhan ekonomi, pelaburan bersejarah, pengukuhan mata wang serta peningkatan daya saing negara kini diterjemahkan secara langsung dalam bentuk manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menyifatkan langkah tersebut bukan sekadar bantuan, malah merupakan pengiktirafan terhadap keyakinan rakyat kepada kepimpinan kerajaan Madani dalam memacu pembaharuan negara.
Kor Ming berkata, KPKT akan memastikan setiap limpahan manfaat daripada kestabilan ekonomi dinikmati rakyat melalui pendekatan menyeluruh dan pembangunan bandar yang berdaya huni serta mampan.
“Rakyat yang menjadi tulang belakang kejayaan negara tidak dilupakan, malah sentiasa dihargai,” katanya sambil menegaskan komitmen kementerian untuk memperkasa kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang memberi keselesaan sebenar.
Beliau yakin dengan semangat Madani dan kerjasama pelbagai pihak, Malaysia mampu mara sebagai negara yang stabil, adil dan saksama.