Kanak-kanak maut digigit anjing liar

Iklan
Mangsa yang berusia setahun tujuh bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing. Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut selepas dipercayai digigit beberapa ekor anjing liar di kawasan Kampung Orang Asli Sungai Buloh pada Selasa.

Insiden itu disedari oleh ibu bapa mangsa kira-kira jam 8.15 pagi ketika mereka pulang dari tempat kerja dan mendapati pintu rumah terbuka sebelum menemui mayat anak mereka pada jarak kira-kira 20 meter dari kediaman.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pasangan Orang Asli itu segera membawa mangsa ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

“Mangsa yang tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas.

Iklan

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 9.14 pagi oleh pegawai perubatan hospital,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan luka dan calar di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Iklan

“Mayat kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

Katanya lagi, mangsa dipercayai ditinggalkan di rumah bersama bapa saudaranya kerana ibu bapa mangsa bekerja.

“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa dan bapa saudaranya sedang tidur di ruang tamu rumah.

“Bapa saudara mangsa menyedari kehilangan kanak-kanak itu selepas terdengar jeritan ibu bapa mangsa dan mendapati mangsa tidak berada di sebelahnya selain pintu rumah dalam keadaan terbuka,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada bapa mangsa, mayat anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.

“Sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau dengan menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194,” katanya.