TELUK INTAN - Kawalselia Padi dan Beras Perak berjaya menumpaskan cubaan membawa 80 tan beras putih import dipercayai diseludup dari Thailand menerusi Op Pintas di Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) berhampiran Hentian Sungai Lebey dekat Gerik pada Selasa.
Dalam pemeriksaan sekitar jam 4 petang itu, lima lelaki ditahan bersama dua treler yang membawa muatan beras bernilai lebih RM308,000 itu dipercayai untuk diedarkan kepada pemborong.
Pengarahnya, Nurul Zhahirah Nahrawi berkata, dua pemandu bersama tiga kelindan berusia lingkungan 20an hingga 30-an itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan sekali gus membawa kepada rampasan.
"Mereka gagal menunjukkan dokumen kebenaran, invois pembelian dan permit pemindahan padi atau beras antara negeri.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pembungkusan beras yang menggunakan nombor kontrak Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga disyaki palsu," katanya kepada pemberita di Sungai Manik di sini pada Rabu.
Menurut Nurul Zhahirah, pihaknya percaya kesemua individu tersebut dalam perjalanan dari Pantai Timur menuju ke beberapa negeri.
"Muatan treler mengandungi 1,600 guni beras itu dipercayai diedarkan kepada pemborong untuk dipasarkan sekitar Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"Keseluruhan rampasan beras dan treler bernilai RM568,000 dibawa ke stor penyimpanan Kawalselia Padi dan Beras di sini untuk siasatan lanjut," katanya.
Tambah beliau, kelima-lima individu warga tempatan itu telah diambil keterangan dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).