PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Harga RON95 akan diturunkan apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menikmati harga lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian inisiatif yang bakal diumumkan menjelang akhir September itu memberi manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
"Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi," katanya.
Menurutnya, bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun.
"Sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat," jelas Menteri Kewangan itu.
Pada masa yang sama, ujar beliau, warganegara asing di negara ini perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.
"Kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak," katanya.