Pemandu lawan arus di Seremban ada masalah mental

Iklan
Polis sahkan pemandu yang tular memandu lawan arus di Seremban hadapi masalah mental dan telah menerima rawatan sebelum ini.

SEREMBAN – Seorang pemandu Proton Saga Iswara yang tular kerana memandu secara melawan arus di Jalan Tuanku Antah, Seremban, telah dikenal pasti dan disahkan menghadapi masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, insiden itu dikesan pihak polis selepas video berdurasi 25 saat dimuat naik ke laman Facebook Negeri Sembilan Kini sejak Isnin.

Iklan
Iklan

Rakaman tersebut menunjukkan kenderaan berkenaan dipandu secara melawan arus berhampiran bangunan Seremban Prima, sekali gus membahayakan pemandu itu sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis berjaya mengesan pemandu kereta berkenaan di sekitar Banting, Selangor. Pemandu lelaki berusia 57 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut.

Iklan

“Siasatan lanjut mendapati pemandu tersebut mempunyai rekod masalah kesihatan mental dan pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental di hospital,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, ketika kejadian, lelaki berkenaan dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil seperti yang disahkan oleh isterinya menerusi laporan polis terdahulu.

Iklan

“Hasil semakan mendapati semua dokumen kenderaan seperti lesen memandu, cukai jalan dan lesen kenderaan motor adalah sah dan masih aktif.

“Namun begitu, lelaki itu telah dikenakan saman di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mematuhi isyarat lalu lintas,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan jalan raya dan tidak mengambil tindakan terburu-buru yang boleh mengancam keselamatan diri serta pengguna lain.