Susah dapat pinjaman, peniaga kecil terpaksa pilih Along

Iklan
Chean Chung

KUALA LUMPUR - Kesukaran mendapatkan akses pinjaman melalui institusi kewangan menyebabkan sebilangan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (SME) terkapai-kapai sehingga perlu mendapatkan pertolongan Along bagi memulakan perniagaan atau bertahan dalam perniagaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, peniaga kecil tersebut memilih untuk menjadikan pemberi pinjaman wang tidak berlesen ini sebagai tempat pembiayaan kewangan mereka kerana proses pinjaman yang lebih mudah dan cepat diperolehi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadang kala, mereka sudah boleh mendapatkan wang dalam tempoh satu jam sahaja berbanding dengan institusi kewangan yang sedia ada yang memerlukan proses yang begitu lama dan rumit.

Perkara itu juga membantutkan hasrat mereka untuk mendapatkan akses pembiayaan yang tepat.

Iklan

“Maka, kita tidak boleh melihat daripada sudut membendung dan menekan peminjam-peminjam ini, sebaliknya merangka supaya peminjam-peminjam sah ini lebih berupaya, lebih berdaya saing dan lebih cekap serta kos pematuhannya tidak terlalu berat.

“Ini akan membawa kepada pelupusan kegiatan pinjaman along yang tidak berlesen apabila mereka telah digantikan menjadi peminjam berlesen yang sah.

Iklan

“Sebaliknya, sekiranya kita menggunakan pendekatan untuk menghukum dan menekan, akhirnya rakyat yang sedia kala menerima pinjaman terpaksa menanggung kos pinjaman yang lebih tinggi,” katanya sewaktu sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Chean Chung turut bertanyakan tentang rancangan dan hala tuju Kementerian Kewangan dalam membawa pemberi-pemberi pinjam wang tersebut masuk dalam pengawal seliaan kredit pengguna.

Tambahnya, Along merupakan satu fenomena yang amat unik di negara ini dan telah berlanjutan selama berdekad-dekad.

“Iklan, notis dan gegantung memang banyak terpapar di tepi jalan, perhentian bas, tiang lampu dan kadang kala di depan sekolah dan hospital.

“Pelancong yang mengunjungi negara kita turut terkilan kerana kegiatan Along yang semakin berleluasa. Kita juga sering terdedah dengan keadaan semasa seperti semburan cat merah, notis tuntutan hutang yang dipaku di depan rumah dan seumpamanya.

“Cabaran yang saya lontarkan kepada suruhanjaya ini adalah, adakah jumlah peminjam-peminjam tidak sah di negara kita ini dapat diserap dalam sistem yang rasmi ini?” soalnya.