Hari Bertemu Pelanggan terus dilaksana walau kehadiran merosot

Iklan
Saarani (kanan) mendengar aduan orang ramai yang hadir dalam Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di Ipoh pada Isnin.

IPOH - Kerajaan Negeri Perak akan meneruskan penganjuran Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan sebagai satu pendekatan tetap untuk menyelesaikan aduan rakyat, meskipun program itu kini menyaksikan penurunan jumlah kehadiran orang ramai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengurangan jumlah kehadiran dalam dua program termasuk di Lenggong berkemungkinan menandakan kejayaan menyelesaikan banyak isu yang dibangkitkan rakyat sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Kita buat Hari Bertemu Pelanggan ini sebab ramai yang mengadu susah nak jumpa Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco dan pegawai-pegawai lain, tetapi sekarang, bilangan yang hadir dua kali berturut-turut nampaknya menurun.

“Mungkin kerana sebahagian besar aduan sebelum ini telah berjaya diselesaikan. Ada yang bergurau kata kawasan itu mungkin sudah 'Sejahtera 2025',” katanya berseloroh dalam sidang akhbar sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Iklan

Menurut Saarani, walaupun kehadiran berkurangan, kerajaan negeri akan terus komited meneruskan program itu sebagai platform tetap untuk rakyat menyuarakan masalah kepada pemimpin dan jabatan terlibat.

“Hari Bertemu Pelanggan ini kita buat secara tetap kerana kita faham kadang-kadang rakyat ada temujanji, tetapi pemimpin negeri tidak dapat hadir kerana urusan lain seperti mesyuarat di Putrajaya atau Kuala Lumpur.

Iklan

“Dengan adanya program ini, rakyat tahu mereka boleh datang bukan sahaja berjumpa terus dengan saya, tetapi pihak lain juga termasuk kalangan ketua-ketua jabatan dan agensi-agensi seperti PKNPk (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak), MB Inc (Perbadanan Menteri Besar Perak), SSI (Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak) dan sebagainya," jelas Saarani.

Program Hari Bertemu Pelanggan Siri Kelima itu menghimpunkan sebanyak 96 kaunter perkhidmatan pelanggan, enam kaunter bergerak dan 11 reruai pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Sebagai nilai tambah, program turut menampilkan penyertaan barisan hadapan seperti Pasukan VAT 69 Komando, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), bomba dan Skuad Amanita Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersempena sambutan Hari Pahlawan yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Selain menyelesaikan aduan, program itu turut menampilkan inisiatif Jualan Murah dan Jualan Rahmah bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui penawaran harga barangan lebih berpatutan.

Saarani berkata, sehingga siri keempat program itu, sebanyak 441 aduan telah diterima daripada rakyat dan 391 daripadanya atau 89 peratus telah berjaya diselesaikan.

"Baki 50 aduan iaitu 11 peratus masih dalam proses tindakan lanjut oleh agensi berkaitan," katanya.

Dalam majlis sama, Saarani turut menyampaikan insentif kepada 10 wakil pesara Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2024 sebagai simbolik penghargaan kepada keseluruhan 399 pesara yang bersara antara 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini.

Setiap pesara layak menerima insentif dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP) melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.65 juta, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam yang telah menabur bakti.