KUALA LUMPUR - Penganjuran Fun Run Walk YAPEIM 2025 menerapkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerjanya sambil mengeratkan hubungan silaturahim selain meningkatkan semangat dan motivasi.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, aktiviti tersebut dilakukan bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-41.
Menurutnya, hampir 500 peserta yang menyertai aktiviti tersebut terdiri daripada warga kerja dan ahli keluarga masing-masing.
“Peserta perlu menghabiskan larian sejauh 4.1 kilometer dan mengemukakan catatan masa larian kepada penganjur sebelum menuntut pingat kejohanan.
“Selain larian secara fizikal, larian ini turut dianjurkan secara maya bagi membolehkan warga kerja YAPEIM yang bertugas di cawangan menyertainya bersama.
“Saya berharap aktiviti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar sebagai salah satu daripada acara sempena sambutan ulang tahun YAPEIM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Fun Run Walk YAPEIM 2025 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan dan pengurusan utama YAPEIM.