Bapa Zayn Rayyan bebas, ibu pula diperintah bela diri

Iklan
Zaim Ikhwan (kiri) dan Ismanira (dua dari kanan) ketika tiba di mahkamah bagi keputusan kes abai Zayn Rayyan pada Isnin.

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, membebaskan bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari atas satu kes mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.

Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama, Zaim Ikhwan, 30, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

“Mahkamah mendapati pendakwaan tidak berjaya membangkitkan elemen pemeliharaan, pengabaian dan niat bersama terhadap tertuduh pertama.

“Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh ini, maka dia dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri, wang jamin dikembalikan,” kata hakim.

Iklan

Mendengar perkara itu, Zaim Ikhwan yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja berwarna biru muda, mengucapkan “terima kasih Yang Arif”.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan isterinya, Ismanira Abdul Manaf (tertuduh kedua) membela diri atas pertuduhan berkenaan di bawah seksyen terbabit.

Iklan

Mahkamah kemudiannya menawarkan tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan itu.

Kedua pula, memberi keterangan tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan tertuduh atau ketiga, berdiam diri serta tidak menjawab pertuduhan.

“Saya memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kendang saksi,” kata Ismanira.

Setelah prosiding selesai, Zaim Ikhwan kelihatan tenang, namun isterinya yang juga berusia 30 tahun, mengalirkan air mata.

Keadaan mahkamah yang senyap bertukar penuh emosi apabila ahli keluarga termasuk datuk arwah, Zahari Mohd Reba, 56, berkumpul bersama ahli keluarga yang menangis sambil memeluk Ismanira.

Dalam kes ini peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh hadir bagi pihak suami isteri itu.

Pendakwaan pula dikendalikan beberapa Timbalan Pendakwa Raya iaitu Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Mahkamah menangguhkan prosiding bela diri kepada jam 2 petang ini.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, kerana telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.