Hanya teguran, PKR tiada hasrat gantung keahlian sembilan ahli Parlimen - Fuziah
Iklan
Fuziah
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berhasrat menggantung keahlian sembilan ahli Parlimen parti itu yang lantang menyuarakan desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menegaskan bahawa isu penggantungan itu tidak timbul memandangkan ahli Parlimen terbabit hanya menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyuarakan isu rakyat.
Iklan
Iklan
“Presiden parti sendiri telah menjelaskan bahawa perkara ini tidak menjadi isu. Apa yang berlaku hanyalah luahan rasa ahli di peringkat cabang yang sememangnya tidak boleh dinafikan.
“Saya kira apa yang mereka lakukan adalah sebahagian daripada tugas selaku ahli Parlimen. Cuma teguran diberikan agar sebarang kenyataan penting seperti ini dibincangkan terlebih dahulu dalam parti," katanya pada Ahad.
Iklan
Beliau ditemui selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi Parti dan Jelajah Presiden di Klana Resort di sini.
Pada majlis itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan  masa kira-kira satu jam bertemu semua Pimpinan Cabang, Angkatan Muda Cabang dan  Wanita Cabang yang menang serta semua calon yang bertanding dalam Pemilihan Parti 2025 di Negeri Sembilan.
Iklan
Sementara itu mengulas berhubung beberapa ahli Parlimen dalam kalangan parti itu yang dilihat sedikit lantang menyuarakan pandangan, beliau berkata, perkara itu sudah sinonim dalam PKR yang memainkan peranan semak dan imbang.
"Ahli Parlimen dan pemimpin PKR memang begitu, jadi kita ambil dari sudut positif tentang perkara ini.
"Jika ada sebarang kelemahan kita cuba perbaiki bersama,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, program siri jelajah Presiden parti di seluruh negara ini adalah usaha menyatukan kembali ahli selepas Pemilihan Parti 2025.
“Program ini adalah usaha Presiden parti untuk merangkul semua pemimpin, sama ada yang menang atau tidak dalam pemilihan. Kita bertanding bukan sebagai musuh, tetapi sebagai adik-beradik dalam parti.
“Kita perlu satukan semula hati-hati ini kerana kita ada banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Tambah Fuziah, sambutan di Negeri Sembilan menunjukkan komitmen luar biasa daripada ahli parti dengan kehadiran hampir 1,000 orang.
“Kalau kita lihat di Negeri Sembilan, ada lapan cabang tetapi dewan penuh. Semua ahli mahu ‘move on’ selepas pemilihan dan beri yang terbaik untuk memperkukuh parti,” katanya.
Perikatan Nasional (PN) menubuhkan pasukan perundangan bagi meneliti tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu, lapor wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasukan berkenaan sedang meneliti tindakan yang sesuai dari sudut perundangan termasuk kemungkinan memohon injunksi atau pengisytiharan bahawa keputusan berkenaan tidak sah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/797938/berita/politik/pn-tubuh-pasukan-perundangan-teliti-tindakan-ros
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.