PORT DICKSON – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berpeluang belajar membuat kuih tradisional buah melaka dan ketayap dalam Program Ukhwah Kepimpinan Madani di Jeti Nelayan, Kampung Telok Pelandok pada Ahad.
Seramai 40 menteri dan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan meluangkan masa hampir 30 minit bertemu masyarakat setempat sambil melaksanakan aktiviti komuniti seperti mengecat jeti serta menyampaikan sumbangan.
Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Program Ukhwah Kepimpinan Madani merupakan sebahagian daripada pengisian Pemukiman Anggota Pentadbiran dan ahli-ahli Parlimen Kerajaan Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung selama dua hari hingga Ahad di daerah ini.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pendekatan turun padang yang diterapkan dalam program tersebut merupakan bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk mendekati rakyat dan memahami realiti kehidupan komuniti luar bandar.
“Kita bukan hanya tumpu kepada acara dalam dewan tetapi memilih untuk memulakan hari seawal jam 8 pagi di beberapa lokasi berbeza. Tujuannya ialah agar kami dapat berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat, melihat potensi kawasan ini dan menambah baik kemudahan infrastruktur yang diperlukan.
“Program ini membantu para pemimpin kerajaan memahami dengan lebih mendalam potensi sesebuah kawasan serta cabaran yang dihadapi penduduk.
“Bila kita turun sendiri dan lihat kelebihan ini, kita sedar bahawa pendekatan Madani bukan sekadar membangunkan negara tetapi juga membangunkan individu dan komuniti,” katanya pada Ahad.
Tambah beliau, kehadiran ramai menteri dan timbalan menteri secara serentak ke lokasi seperti itu amat bermakna dan memberi mesej jelas bahawa kerajaan serius dalam usaha mendekati rakyat.