Pesawat mendarat cemas, penumpang cuba buka pintu kecemasan

Iklan
Tertuduh dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat dan hakim menetapkan ikat jamin sebanyak AS$10,000 (RM46,800).

CEDAR RAPIDS, IOWA – Sebuah pesawat penumpang terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas seorang lelaki cuba membuka pintu kecemasan ketika pesawat sedang berada di udara dalam kejadian malam Khamis.

Insiden itu membabitkan pesawat Delta Connection penerbangan 3612 yang dikendalikan oleh SkyWest Airlines dalam perjalanan dari Omaha ke Detroit.

Iklan
Iklan

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam waktu tempatan (8:00 pagi Jumaat waktu Malaysia) apabila seorang penumpang bertindak agresif dan bergelut dengan seorang pramugari ketika cuba membuka pintu kecemasan.

Rakaman komunikasi juruterbang yang diperoleh dari laman web LiveATC.net mendedahkan mesej cemas kepada menara kawalan Eastern Iowa Airport di Cedar Rapids.

Iklan

“Seorang penumpang sedang bergaduh dengan pramugari kami sekarang, cuba membuka pintu kecemasan,” kata juruterbang.

Pesawat tersebut berjaya mendarat dengan selamat dan terus ditunda ke pintu ketibaan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Iklan

Susulan kejadian, seorang lelaki dikenali sebagai Mario Nikprelaj, 23, dari Nebraska telah ditahan dan didakwa atas lima pertuduhan termasuk mengugut serta menolak pramugari, melakukan gangguan awam serta dua pertuduhan berkaitan dadah selepas pihak berkuasa menemui 41 biji pil Alprazolam (Xanax) dalam simpanannya.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat dan hakim menetapkan ikat jamin sebanyak AS$10,000 (RM46,800). Setakat ini, tidak jelas sama ada beliau diwakili peguam atau sebaliknya.

Syarikat SkyWest dalam kenyataannya menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tingkah laku agresif atau membahayakan.

“Keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaan kami,” kata syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, menurut data FAA, lebih 870 laporan mengenai kelakuan tidak terkawal oleh penumpang telah direkodkan sepanjang tahun ini di Amerika Syarikat.-CNN

ENDS