KPKT lulus RM146 juta laksana 24 projek di Kelantan

Iklan
Kor Ming (tiga dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima rumah sempena Prigram Sentuhan Kasih KPKT pada Jumaat.

KOTA BHARU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan lebih RM146.2 juta membabitkan 24 projek tahun ini yang dilaksanakan di Kelantan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kesemua projek berkenaan akan dikawal selia oleh 11 agensi di bawah KPKT merangkumi pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, antara projek terbabit ialah pembinaan baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat (PRR) yang menelan kos RM12.7 juta serta dua projek Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) bernilai lebih RM2.6 juta.

"Projek lain yang diluluskan ialah bengkel kejuruteraan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta lima projek pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih KPKT di sini pada Jumaat dan turut meninjau tiga daripada kesemua projek terbabit.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah.

Iklan

Tambah beliau, peruntukan terbesar untuk negeri Kelantan tahun ini ialah melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjumlah RM69.37 juta bagi pembinaan 855 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di 14 Parlimen termasuk Jajahan Jeli, Tumpat, Machang, Pasir Mas, Gua Musang serta Kota Bharu.

Kor Ming memberitahu, bagi mengindahkan persekitaran serta taman awam, kerajaan melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) meluluskan RM10.95 juta bagi pelaksanaan kerja pembangunan dan naik taraf taman awam di seluruh negeri Kelantan.

"Setakat ini, kementerian berpuas hati dengan semua pelaksanaan pembangunan hasil kerjasama kerajaan negeri," katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Madani akan terus memberi komitmen dan bekerjasama dengan PBT di seluruh negara tanpa kira fahaman politik bagi merealisasikan perancangan pembangunan negara secara lebih lestari untuk kesejahteraan rakyat.