Operasi SAR Ija Nizaruddin di Sungai Tui ditamatkan

Iklan
Operasi SAR bagi mengesan Ija Nizaruddin di Sungai Tui ditamatkan selepas tiada petunjuk baharu ditemui.

MUAR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang selepas keretanya ditemui di Sungai Tui, ditamatkan pada Jumaat selepas empat hari dijalankan tanpa sebarang petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka di lokasi juga telah ditutup secara rasmi.

Iklan
Iklan

Raiz Mukhliz

Menurutnya, keputusan menamatkan operasi SAR dibuat selepas pertimbangan beberapa faktor, termasuk usaha pencarian terperinci di lokasi kejadian yang telah selesai tanpa penemuan baharu serta keperluan memperluas pencarian ke lokasi lain.

Iklan

"Mangsa dilaporkan hilang selepas kenderaan yang dipercayai dipandunya ditemui dalam keadaan separa tenggelam di Sungai Tui, kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Kepong pada Selasa.

"Operasi SAR digerakkan serta-merta pada hari sama dengan kekuatan seramai 77 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penyelamat, meliputi pencarian dari darat, air dan udara dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kejadian.

Iklan

"Bagaimanapun, sehingga Jumaat, mangsa masih belum ditemui dan tiada petunjuk baharu berjaya dikesan," katanya dalam satu kenyataan.

Selasa lalu, media melaporkan Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui, namun mangsa tidak ditemui di dalam kenderaan itu.

Justeru, operasi SAR yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Dron JBPM, Pasukan Polis Marin, Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dijalankan bagi mengesan mangsa.

Sementara itu, Raiz Mukhliz menegaskan bahawa proses pencarian seterusnya akan dilaksanakan secara berkala oleh anggota Balai Polis Lenga dengan bantuan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Justeru, katanya, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

"Sebarang maklumat berkaitan kehilangan Tengku Nizaruddin boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Ismail Ali di talian 013-7165432," katanya.