SHAH ALAM - Seorang pemandu lori kontena cedera selepas kenderaan yang membawa muatan bahan kimia itu terbabas dan terbalik di kilometer 29.6 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala Klang di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 10.25 pagi.
"Seramai 14 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam serta bantuan BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 10 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian mendapati lori berkenaan membawa muatan bahan kimia jenis sulfur, kalsium karbonat dan titanium oksida berbentuk cecair di dalam 10 unit tangki berkapasiti 1,000 liter setiap satu unit.
"Bahan kimia tersebut telah tumpah di dalam kontena dan mengalir ke permukaan jalan utama Lebuhraya Kesas," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, pemandu lori berkenaan telah berjaya di selamatkan oleh orang awam dan hanya mengalami cedera ringan.
"Tindakan anggota bomba di lokasi sedang menunggu pihak kontraktor untuk mengalihkan kontena ke tepi lebuh raya bagi melakukan kerja-kerja pembersihan bahan kimia tersebut," ujarnya.