BERA – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Ativa yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Felda Sebertak–Felda Sebertak Triang berhampiran Tasik Bera pada Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.32 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 10.13 pagi.
"Sebaik tiba, anggota mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori. Seorang mangsa lelaki dewasa didapati tersepit di bawah kereta.
“Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamatan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan selamat.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan,” ujarnya.